Pernahkah anda rasa sangat down, tertekan dengan cabaran hidup masa kini?
Dengan kos sara hidup yang makin meningkat, makanan asas yang naik berganda-ganda?
Apakah rezeki anda makin sesak? InsyaAllah, kita kongsi pandangan bersama-sama.
Rezeki itu subjektif untuk setiap umat manusia di bumi ini. Bagi orang kebiasaan, rezeki itu mungkin dinilai dengan wang ringgit ataupun pendapatan bagi menampung kehidupan seorang anak Adam.
Namun rezeki itu bagi seorang miskin ataupun bagi seorang kaya raya berbeza.
Seorang miskin, rezeki itu sekadar dapat sesuap nasi ataupun sekadar mengisi kekosongan perut sehari-hari. Bagi seorang yang kaya, rezeki itu mungkin kenikmatan masa lapang yang sangat dia ingini selepas ia tiada masalah untuk makan, minum atau berhibur. Namun, jika dia bersyukur, insyaAllah, setiap nikmat yang diperolehi tu juga rezeki. Selain rezeki wang ringgit, rezeki yang sering kita lupa ialah rezeki kesihatan, rezeki punyai keluarga, suami atau isteri yang bersabar, anak-anak yang ramai, masa yang lapang, rumah yang dekat dengan pejabat, kenderaan yang tidak rosak, atau apa juga yang anda mungkin tidak sangka-sangka rezeki itu.
Semua yang lahir di bumi ini ada rezeki masing-masing, samada ianya cukup atau tidak, bergantung kepada penerimaan masing-masing. Jika dia bersyukur, sesungguhnya Allah akan cukupkan segala-galanya. Setiap manusia, Allah telah tetapkan rezekinya, Ajal maut, jodoh. Allah lebih mengetahui apa yang baik bagi kita, apa yang buruk bagi kita.
Andai kita berdoa untuk mencapai sesuatu yang kita inginkan, namun kita masih belum mendapatkannya, berdoa jugalah supaya Allah ganti yang lebih baik dengan apa yang kita inginkan. Sekiranya tidak di dunia ini, insyaAllah semoga Allah ganti di akhirat yang kekal abadi.
Dunia ini sementara, akhirat kekal selama-lamanya.